Empat Rakan Menang Pingat Pertandingan Seni Kulinari Jerman

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

DARI kiri, Mohd Yaakop Yusof, 36, Muhammad Haziq Hazwan Ruslin, 23, Shahrizal Ahmad Selo, 36, dan Shahrizan Md Eser, 35, meraikan kejayaan selepas berjaya mengharumkan nama negara pada kejohanan IKA Olimpik Kulinari di Jerman sejurus tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – Foto Fariz Iswadi Ismail

SEPANG: Seorang penyelia kilang aluminium mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat perak dan gangsa dalam Kejohanan IKA Olimpik Kulinari di Erfurt, Jerman.

Shahrizan Md Eser, 35, dari Puchong, Selangor memenangi dua kategori iaitu Ukiran Sayur-Sayuran dan Ukiran Buah-Buahan.

Beliau yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi, berkata ia penyertaan pertamanya dalam kejohanan kulinari di peringkat antarabangsa.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, setiap kali memasuki mana-mana pertandingan saya sasarkan untuk mendapat sekurang-kurangnya satu pingat untuk dibawa pulang.

“Syukur, dalam kejohanan ini saya membawa pulang dua pingat dan ia sudah mengatasi sasaran awal.

“Walaupun terpaksa mengeluarkan modal sendiri untuk menyertai pertandingan ini, minat dan pengalaman yang saya peroleh di sana mengatasi segalanya.

“Saya tidak kisah berhabis ribuan ringgit, asalkan dapat menyertai kejohanan yang dianggap berprestij di dalam bidang masakan dan kulinari ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Kejohanan yang diadakan dari 22 hingga 25 Oktober itu dianjurkan empat tahun sekali oleh Persatuan Chef Jerman.

Lebih 100 peserta menyertai kejohanan terkemuka dunia itu.

Selain Shahrizan, tiga lagi rakannya turut membawa pulang pingat gangsa menerusi penyertaan dalam kejohanan berkenaan.

Mereka ialah Mohd Yusoff Yaakob, 36, Muhammad Haziq Hazwan Ruslin, 23 dan Shahrizal Ahmad Selo, 36.

Shahrizan berkata, banyak cabaran yang dihadapi di sana apatah lagi itu adalah lawatan pertamanya ke Jerman.

“Di Jerman mereka banyak menggunakan labu. Pelbagai jenis labu terdapat di sana, malah pernah terjadi ukiran sudah siap tiba-tiba bila ingin pamerkan kepada juri labu berkenaan menjadi busuk.

“Itu antara situasi yang dihadapi oleh kami, namun dari hari ke hari, kami sudah pandai memilih labu yang boleh digunakan untuk ukiran dalam pertandingan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Mohd Yusoff berkata kehadiran mereka di sana tidak menggunakan ejen sebaliknya semua persiapan dilakukan sendiri.

“Kami mencari kedai membeli barangan yang digunakan secara sendiri, naik turun bas sambil membawa segala kelengkapan.

“Pengalaman ini mengajar kami untuk buat yang terbaik dalam pertandingan berkenaan,” katanya yang juga pensyarah di Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam, Selangor.

Source : Berita Harian