
Dari Bawah Pokok, Kini Miliki 12 Rangkaian Restoran
SELAYANG: Ramai yang mengenali atau pernah mendengar jenama ‘Tuu… Dia Pak Tam’ yang terkenal dengan menu Rojak Pasembor dan Mee Rebus, terutama mereka yang tinggal di Selayang, Selangor.
Namun, mungkin hanya segelintir mengetahui cerita di sebalik kejayaan pemegang gelaran Pak Tam atau nama sebenarnya, Ruslin Ibrahim, 54.
Ia bermula sebagai penjual daging lembu dan ayam di Pasar Borong Jalan Ipoh pada tahun 1983 sebelum beralih kepada gerai Rojak Pasembor dan Mi Rebus di kiosk bawah pokok di Bulatan Taman Selayang Baru pada tahun 1994.
Seterusnya, perniagaan beliau berkembang menjadi restoran Tuu… Dia Pak Tam dan kini memiliki 12 cawangan termasuk dua cawangan yang menawarkan perkhidmatan katering.
Mungkin dalam pemerhatian masyarakat umum, ia seakan-akan senang kerana perjalanan perniagaan yang dilalui Pak Tam tampak mudah, namun hakikatnya tidaklah semudah yang disangkakan.
Anak jati Pokok Sena, Kedah itu memulakan perniagaan kiosk kecil yang menawarkan menu Rojak Pasembor dan Mi Rebus di bawah pokok hanya bermodalkan RM25 selepas perniagaan menjual daging lembu dan ayam selama 10 tahun kurang memberangsangkan.
“Selepas kedai tutup, apa yang saya ada hanya modal RM25 untuk memulakan perniagaan baharu menjual Rojak Pasembor dan Mi Rebus di Selayang.
“Pada ketika itu hanya tuhan saja yang tahu bagaimana susahnya saya untuk mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak,” kata Pak Tam yang kini bergelar Pengarah Urusan Sirah Heritage Holdings.

Kesungguhan dan keikhlasan Pak Tam dalam mencari rezeki halal akhirnya berbalas apabila kiosk yang dibuka dengan modal kecil berkembang pantas. Dalam tempoh enam bulan, beliau berjaya meraih pendapatan bersih lebih RM500 sehari, hasil jualan Rojak Pasembor dan Mee Rebus.
Pada tahun 1995, Pak Tam bersama isteri, Noraini Baharom, 54 membuka gerai menu sama sebelum berkembang kepada lot kedai setahun kemudian dan membuka kedai lebih besar pada 2002.
“Jika diceritakan kepada sesiapa mungkin ia nampak mudah iaitu dari kiosk kepada gerai seterusnya kedai. Namun, dalam tempoh peralihan, pelbagai dugaan ditempuhi saya sekeluarga termasuk terpaksa membayar denda kerana jahil mengenai cukai perkhidmatan.
“Mujurlah saya dapat atasinya berkat kesabaran dan kesungguhan untuk membesarkan anak-anak.
“Dalam berniaga kita kena faham apa yang kita nak. Jangan anggap pesaing sebagai musuh, sebaliknya anggaplah mereka sebagai rakan perniagaan. Saya sering mendoakan restoran berdekatan kami semaju kami. Biarlah rezeki kita kongsi bersama,” katanya.

Menuju ke hadapan, Tuuu… Pak Tam yang bernaung di bawah syarikat induk Sirah Heritage merancang membuka 30 cawangan secara francais dalam tempoh lima tahun akan datang.
Selain itu, beliau turut menyasarkan untuk membuka dapur pusat bagi membekalkan menu kepada 10 restorannya di beberapa negeri di sepanjang lebuh raya dan dua cawangan katering di Kuala Lumpur.
Pak Tam kini memiliki 10 restoran antaranya di Selayang; Hospital Kuala Lumpur; Bangunan MARA Kuala Lumpur; Pusat Latihan AmBank; Hospital Putrajaya; Ayer Keroh, Melaka; kawasan R&R Ulu Bernam, Tanjung Malim; serta R&R Tapah Arah Selatan dan Utara, manakala dua pusat katering iaitu di Selayang dan FITEC MARA Batu Muda.
Sirah Heritage kini memiliki lima anak syarikat yang terbabit dalam perniagaan restoran, katering, kedai kek dan pastri, kedai serbaneka serta pusat latihan dan kursus pengurusan restoran dan masakan.
Semua perniagaan di bawah syarikat induk diuruskan sendiri oleh Pak Tam dan enam anaknya yang masing-masing memiliki latar belakang berlainan dalam bidang makanan.
Selain menawarkan makanan panas, anak syarikat Sirah Heritage juga memasarkan pelbagai produk lain termasuk roti, kopi segera, air osmosis terbalik (RO), selain bakal memperkenalkan teh tarik serta sambal belacan segera.
“Kami juga sedang memperkemaskan perniagaan trak menjual makanan (food truck) dan buat masa ini kami sudah ada lima trak untuk beroperasi. Kami bekerjasama dengan universiti tempatan dan usahawan kita pula terdiri daripada pelajar tahun akhir universiti berkenaan,” kata Pak Tam mengakhiri perbualan.
Info: Restoran Tuuu… Dia Pak Tam di Selayang, Selangor
- Tawar bufet Ramadan berharga RM11.90 seorang (hari pertama Ramadan)
- RM16.90 seorang untuk minggu pertama Ramadan
- RM24.90 seorang (kanak-kanak RM14.90) bagi minggu kedua-empat
- Tawar lebih 75 jenis makanan
- Konsep makan sampai kenyang dengan selepas 8.30 malam setiap hari, jika ada lebihan makanan boleh di bawa pulang.

Source : Berita Harian Online